Sejarah kuno Sejarah_China

Dinasti Xia

Bekas gangsa Lozenge Carven Ding yang ditemui di tapak Erlitou, istana Xia.
Rencana utama: Dinasti Xia

Pemerihalan Sima Qian dan Catatan Tahunan Buluh menetapkan tarikh pengasasan Dinasti Xia pada 4,200 tahun dahulu, tetapi tarikh ini masih tidak dapat disahkan. Terdapat 17 orang raja dalam Dinasti Xia yang terdiri daripada 14 generasi, bermula dengan Yu Agung sehingga Jie dari Xia, menurut Sima Qian dan rekod-rekod lain pada Dinasti Qin yang kemudian.

Penduduk-penduduk Shang dan Zhou telah wujud sejak permulaan Dinasti Xia dan merupakan negeri-negeri lindungan Xia. Tempoh Dinasti Xia yang tepat masih susah untuk ditetapkan, tetapi kini terhad kepada dua pilihan, iaitu 431 tahun atau 471 tahun.

Kebanyakan ahli arkeologi kini mengaitkan Dinasti Xia dengan ekskavasi-ekskavasi di Erlitou yang terletak di provinsi Henan tengah, [3] dengan sebuah relau lebur gangsa dari sekitar tahun 2000 SM ditemui di sana. Tanda-tanda awal yang ditemui pada tembikar dan cangkerang dari zaman ini telah dikatakan merupakan leluhur askara-askara Cina moden. [4]. Dengan tidak adanya banyak rekod tertulis yang sepadan dengan tulang-tulang orakelS Shang atau tulisan-tulisan bekas gangsa Zhou, zaman Xia masih tidak dapat difahami dengan memuaskan.

Dinasti Shang

Rencana utama: Dinasti Shang
Saki baki masyarakat-masyarakat maju yang bertingkat-tingkat dan yang wujud sejak dari zaman Shang telah ditemui di Lembah Sungai Kuning.Simuwu Ding daripada Dinasti Shang Lewat yang tingginya 133 sm, panjangnya 110 sm, lebarnya 79 sm, dan beratnya 832.84 kg, merupakan bekas gangsa terbesar yang ditemui di dunia. Dibuat oleh Zu Jia dari Shang untuk ibunya, Wu, isteri Wu Ding. Digali di Anyang pada tahun 1939.

Rekod tertulis yang terawal yang ditemui tentang masa lampau China datangnya daripada Dinasti Shang, mungkin pada abad ke-13, dan mengambil bentuk ukiran-ukiran rekod peramalan pada tulang dan cangkerang haiwan — apa yang dipanggil tulang orakel. Dapatan-dapatan arkeologi yang memberikan bukti terhadap kewujudan Dinasti Shang antara sekitar 1600 SM1046 SM dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama dari zaman Shang yang lebih awal (k.k. 1600–1300 SM) berasal daripada sumber-sumber di Erligang, Zhengzhou, dan Shangcheng. Kumpulan kedua dari zaman Shang atau Yin yang kemudian terdiri sebahagian besarnya daripada sekumpulan tulisan tulang orakel yang besar. Anyang di Henan masa kini telah disahkan sebagai ibu kota terakhir antara sembilan buah ibu kota Shang (k.k. 1300–1046 SM). Adanya 31 orang raja dalam Dinasti Shang, bermula dengan Raja Tang hingga Raja Zhou, dengan dinasti ini merupakan dinasti yang kekal paling lama dalam sejarah Cina.

Catatan Ahli Sejarah Agung menyatakan bahawa Dinasti Shang memindahkan ibu kotanya sebanyak enam kali. Pemindahan terakhir dan terpenting ke Yin pada 1350 SM menghasilkan zaman kegemilangan dinasti ini. Istilah 'Dinasti Yin' merupakan sinonim untuk dinasti Shang dalam sejarah, walaupun pada akhir-akhir ini, ia telah digunakan khusus untuk merujuk kepada separuh kedua Dinasti Shang.

Ahli-ahli sejarah Cina yang hidup pada zaman-zaman kemudian telah membiasakan diri dengan tanggapan satu dinasti mewarisi satu dinasti, tetapi keadaan politik sebenar pada zaman China yang awal diketahui adalah jauh lebih rumit. Oleh it, sebagaimana yang dicadangkan oleh sesetengah cendekiawan China, Dinasti Xia dan Dinasti Shang mungkin merujuk kepada entiti-entiti politik yang wujud sezaman, seperti dengan Dinasti Zhou awal (negara pewaris Shang) yang diketahui wujud pada zaman yang sama dengan Dinasti Shang.

Rekod-rekod tertulis yang ditemui di Anyang mengesahkan kewujudan dinasti Shang. Bagaimanapun, cendekiawan-cendekiawan Barat seringnya meragui tentang perkaitan antara petempatan-petempatan sezaman petempatan Anyang dengan dinasti Shang. Umpamanya, dapatan-dapatan arkeologi di Sanxingdui membayangkan peradaban berteknologi maju yang tidak sama dengan Anyang dari segi kebudayaan. Bukti-bukti yang ada tidak dapat membuktikan dengan muktamad tentang betapa jauh alam Shang terbentang dari Anyang. Hipotesis terutama adalah bahawa Anyang, yang diperintah oleh dinasti Shang yang sama dalam sejarah rasmi, wujud bersama-sama dan berdagang dengan banyak petempatan yang mempunyai berbagai-bagai kebudayaan di kawasan yang kini dirujuk sebagai China wajar.

Dinasti Zhou

Rencana utama: Dinasti Zhou

Menjelang akhir milenium ke-2 SM, Dinasti Zhou mula bangkit di lembah Sungai Kuning dan menakluki dinasti Shang. Dinasti Zhou kelihatan memulakan pemerintahannya di bawah sebuah sistem separa feudal. Masyarakat Zhou merupakan penduduk-penduduk di barat Shang, dengan ketuanya dilantik sebagai "Pelindung Barat" oleh Shang. Raja Wu, pemerintah Zhou, dengan bantuan Duke Zhou, bapa saudaranya yang merupakan pemangku raja, dapat menewaskan Shang dalam Pertempuran Muye. Raja Zhou ketika itu mempergunakan konsep Mandat Syurga untuk mewajarkan pemerintahannya, satu konsep yang kemudian dipergunakan oleh hampir setiap dinasti yang berikut. Dinasti Zhou pada asalnya memindahkan ibu kotanya ke barat di kawasan dekat Xi'an masa kini yang berhampiran dengan Sungai Kuning, dan mengawal satu siri peluasan masuk ke lembah Sungai Yangtze dari sana. Ini merupakan penghijrahan pertama antara banyak penghijrahan dari utara ke selatan dalam sejarah Cina.

Zaman Musim Bunga dan Musim Luruh

Pada abad ke-8 SM, kuasa Dinasti Zhou terpencar semasa Zaman Musim Bunga dan Musim Luruh, zaman yang dinamai sempena nama Catatan Tahunan Musim Bunga dan Musim Luruh yang terpengaruh. Dalam zaman ini, ketua-ketua tentera tempatan yang dilantik oleh Dinasti Zhou mula mempergunakan kuasa mereka untuk memperoleh hegemoni. Keadaan ini diburukkan oleh serangan-serangan daripada orang-orang di barat laut seperti Qin, dan memaksa Dinasti Zhou untuk memindahkan ibu kotanya ke timur Luoyang. Ini menandakan fasa kedua Dinasti Zhou yang besar: Zhou Timur. Di dalam setiap negeri yang muncul, tokoh-tokoh tempatan yang kuat memiliki kebanyakan kuasa politik dan meneruskan kepatuhan mereka kepada raja-raja Zhou pada nama sahaja. Umpamanya, ketua-ketua tempatan mula menggunakan gelaran-gelaran diraja pada diri sendiri. Seratus Aliran Fikiran falsafah Cina berbunga semasa zaman ini, termasuk gerakan-gerakan intelektual yang terpengaruh seperti Konfusianisme, Taoisme, Ultrakeundangan, dan Mohisme yang mengasaskan gerak balas terhadap dunia politik yang berubah-ubah. Zaman Musim Bunga dan Musim Luruh ditandakan dengan perpecahan kuasa pusat Zhou, dengan China ketika itu terdiri daripada beratus-ratus negeri, dengan sebilangannya hanya sebesar desa dengan sebuah kubu.

Zaman Negeri-negeri Berperang

Selepas pengukuhan politik yang lanjut, tujuh buah negeri yang terutama tertinggal pada akhir abad ke-5 SM, dengan tahun-tahun yang negeri-negeri ini bertempur satu sama lain dikenali sebagai Zaman Negeri-negeri Berperang. Walaupun terdapat raja Dinasti Zhou yang memerintah pada nama sahaja sehingga tahun 256 SM, baginda tidak memegang banyak kuasa yang benar. Semasa wilayah-wilayah yang berjiran dengan negeri-negeri berperang itu diilhakkan, umpamanya kawasan-kawasan di Sichuan dan Liaoning masa kini, kawasan-kawasan ini diperintah di bawah sebuah sistem pentadbiran kekomanderan dan prefektur tempatan yang baru. Sistem ini telah diamalkan sejak Zaman Musim Bunga dan Musim Luruh dan sebahagiannya masih dapat dilihat dalam sistem Sheng & Xian (provinsi dan kaunti) masa kini. Peluasan terakhir zaman ini bermula dengan pemerintahan Ying Zheng, raja Qin. Penyatuannya terhadap enam buah kuasa yang lain serta pengilhakan-pengilhakan lanjut di kawasan-kawasan Zhejiang, Fujian, Guangdong, dan Guangxi masa kini pada tahun 214 SM membolehkannya mengisytiharkan diri sebagai Maharaja Pertama (Qin Shi Huangdi). Baginda menggolongkan masyarakatnya menjadi tiga kelas, iaitu Raja, golongan bangsawan, dan golongan petani, untuk membantu mengawal kemaharajaannya.